Wednesday, May 15, 2019

terpisah segala



bukan simpati yang dipinta, hanya sekadar coretan dari jiwa.

Aku jarang sekali bercerita tentang ayah, terlalu jarang, tiada rasa malu atau cuba menyembunyi, hanya mahu jauh dari segala kata-kata mereka. Yang aku tahu, dia sudah aku sematkan dalam jiwa, terindah segala memori. Tapi, buat kali ini, benarkanlah aku mencatat secebis dari kenangan bersama, agar terselit juga di sini, agar masih dapat ditatap kemudian hari. 

Dulu, aku selalu tertanya sendiri, bagaimana rasanya kasih sayang dan belaian penuh manja dari seorang ayah kepada anaknya? Seusia aku baru menginjak sepuluh tahun, ayah disahkan menghidap penyakit yang serta-merta mengubah kehidupan kami. Tatkala masih bersekolah rendah, aku sentiasa tidak memahami sehinggalah menginjak dewasa, perlahan-lahan semuanya aku pendam, mula untuk memberi ruang, merangkak memahami setiap satu darinya. Ibu, insan yang luarannya sangat kuat, ditempuhnya segala takdir dan dugaan tuhan, kental membesarkan kami yang masih perlu didikan, digalas semuanya dibahu, dialah ibu dan dialah pengganti ayah sehingga kini.

Perubahan mendadak yang sangat terkesan bagi aku, saat ayah tak mampu ingat anak bongsunya ini, bukan sahaja aku, malah semua. Tak mampu bercerita tentang bagaimana malam menjadi saat yang paling ditunggu untuk meluah rasa yang mencengkam dada. Kenangan sebelas tahun dilalui dengan menjaga ayah, sangat indah, semuanya terasa jelas. Jujur aku bukan anak yang baik, tipu jika dikata tiada keluhan yang keluar, aku manusia yang tiada sempurnanya. Kekuatan yang datang semua dari ibu, tanpanya mungkin aku berterusan rebah. 

18 April 2019, pergilah sudah insan yang bergelar bapa kepada enam orang anak dan suami kepada ibu, meninggalkan kami atas takdir ketentuan Ilahi. Terhapusnya segala kesakitan yang dilalui setelah sekian lama, yang aku syukuri ketikanya. Dihujung hayatnya diuji, kami sekeluarga juga turut terkesan, sangat mencabar dan pasti tuhan mengetahui hal itu, Dia sentiasa mengetahui. Terduduk meraung tanpa mampu dihalang. 

Mensyukuri masih berada disisinya sehingga hembusnya nafas terakhir. Segarnya memori ini 🍂. Dan kini baru aku mengerti sebuah rindu yang tiada berpenghujung. Mengajar aku untuk menghargai semua yang masih setia disisi, penuh memberi semangat, tiada putusnya.

Buat ibu tercinta, terima kasih untuk setianya dirimu sepanjang menjaga ayah. Terima kasih buat semangat dan kekuatan yang kau setia ajarkan. Penat lelahmu selama ini akan aku doakan semoga Tuhan membalasnya dengan yang paling terindah di akhirat kelak.  Tiada doa yang akan putus buat kalian berdua, ibu dan ayah. Akan setia ada disampingmu sehingga tamatnya perjalanan hidupku. 



ayah,
rindu.
__________
20 Mac 1956 - 18 April 2019
Al-fatihah buat arwah ayah.

20 comments:

  1. Takziah.. Maaf ambil masa sebulan untuk ucap takziah sebab lama tak on Blog.
    Bersabarlah dengan dugaan dan moga kuat selalu dan teruskan hidup dengan bahagia.

    Jaga diri.
    xo

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Takpa, ni pun baru ada kekuatan untuk share sini. Amiinn, inshaallah.

      Delete
  2. Allahu.. Salam Takziah.. Semoga roh ayah awak tenang disana dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan bersama para solehin.. InsyaAllah.. :)

    ReplyDelete
  3. Salam takziah dari saya, semoga roh arwah ayah awak dicucuri rahmat dan awak diberi kekuatan :)

    ReplyDelete
  4. Salam takziah for you and you family.

    ReplyDelete
  5. Salam takziah and stay strong for you and your family

    ReplyDelete
  6. Innalillahwainnailaihirojiun. You're very strong my dear <3

    ReplyDelete
  7. salam takziah . be strong sis .

    ReplyDelete
  8. You are a strong young lady :)

    ReplyDelete
  9. Salam takziah.. i know you are strong.. doakn banyak-banyak untuh arwah ayah ye. semoga dia ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Ameen.

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih yaaa...inshaAllah akan dicuba sekuat yang mampu. Amiinnn Amiinnn.

      Delete
  10. After all of these, you still rise beautifully <3 Stay strong. Al-fatihah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. that....sweet, I'm touched. I will, inshaAllah. Thank you <3

      Delete

thankyou for spread the love!