tentang kekasih setia

Ketahuilah semua apa yang kalian semua sudah mengetahui, untuk menunggu itu suatu yang memeritkan. Di sini aku selitkan kisah sama ada benar atau tidak, pasti ianya pernah berlaku. Biar aku failkan setiap satu isi sudut di dalam hati seorang kekasih menunggu kekasih hati.

Aku bukan pengarang hebat yang mampu menarik minat dengan hanya kisah tersendiri, tapi setiap antara kita punya jalan cerita masing-masing dan setiap yang berlaku aku pilih untuk tulis, catat, taip. Supaya bila berinjak dewasa; bakal aku selak bacaanku, menatap baris ayat yang aku olah, satu hari "tak sangka aku pernah melalui hal-hal ini," gitu.

Biar saja jika cerita ini aku tambah biar sedap dibaca, tapi asal isi kisah ku ini dihayati dan difahami, buat semua. 

;

Sunyinya dan sepinya membelenggu jiwa-jiwa penghuni rumah ini. Setelah khabar berita anak sulung ibu yang tidak dapat pulang akibat kerja semuanya bagai muram. Aku tahu berita yang aku sampaikan itu terkena pada jiwa perempuan tercintaku ini. Jujur sebenarnya tak mahu aku khabarkan berita sedih itu kepada ibu, tapi kalau tidaknya dikhabarkan bukankan penungguan itu bakal jadi yang sia-sia? 

Walaupun aku tahu selepas berita itu dikhabarkan, ibu masih tetap akan menunggu dan akan sentiasa menunggu. Cuma bezanya jika tidak diberitahu, ibu akan selalu bertanya, diminta bertanya khabar anaknya yang jauh, diminta record suaranya melalui whatsapp; katanya biar anaknya tahu si ibu sentiasa merindui dan biar anaknya melepas rindu mendengar, begitu penjelasannya. 

Aku tahu ibu sudah terluka.

Aku juga tahu ibu rindu, siapa yang tak rindu anak oi. Tambah-tambah pula susah mahu bersatu, kalau berkumpul pun tak selalu lama. Aku tahu ibu pendam, setiap kali berkumpul ibu sering menatap wajah seorang demi seorang anaknya, tumpah kasihnya tak pernah berhenti, adakah kalian semua faham akan perasaan anak bongsu seperti aku ini yang sentiasa ada bersama ibu, tidak jauh, sentiasa ada, aku sudah hafal semua reaksinya, bahasa tubuhnya, perlakuannya.

Aku tak mahu bersuara kerna aku tahu, pabila aku bersuara semua bakal aku luah, ungkit biar terasa kesal mereka, hanya satu sebabnya aku tahan-- ibu.

Aku tak kisah kalau tidak pulang, tapi rindu ibu itu selalu--begitu juga dengan aku.
Aku tak kisah kalau tidak pulang, asal sentiasa berhubung, bertanya khabar, biar hati si ibu girang.
Aku tak kisah kalau tidak pulang, walau sibuk terlalu, asal jika ada masa yang singkat, luang,
mesej pun sudah bermakna.
bukankah ini semua buat wanita yang sudah bersusah payah melahirkan kita?
kenapa terlampau berkira?

Aku tahu.
Aku sebagai seorang anak pun bukanlah selalu menjaga.
Aku juga sedar terkadang sebagai anak terlepas juga bicara menyakitkan hati ke orang tua.
Aku juga sudah sedar yang terkadang kita ini melukakan hati orang tua di luar keinginan yang sebenar.

Aku tahu.
Aku juga seorang anak,
yang punya orang tua,
sama seperti kalian semua.

(sudah aku peram episod ini dari raya 2016, entah mengapa jangan ditanya)

2 comments:

  1. A mother's love is an everlasting true love that never dies... :D

    ReplyDelete

thankyou for spread the love!